Monday, September 26, 2011

APA ERTINYA KEHIDUPAN KITA?

Pagi ini, aku nak bermadah sikit semoga menjadi ikhtibar bagi diri aku dan semua, insyallah.

Ada sesetengah orang yang terlalu sombong sehingga merasakan dirinya bisa menongkat langit. Ada juga sesetengah orang yang terlalu kikir sehingga merasakan dirinya bisa membeli dunia. Ada pula sesetengah orang yang terlalu jahil sehingga terlalu mengikut tuntutan dunia sehingga tak bisa mengenal yang mana dosa atau yang mana pahala.

Minggu ini saja, aku sudah terima berita-berita yang menyedihkan. Bekas kawan sepejabat aku dahulu yang baru berumur 45 tahun telah meninggal dunia setelah 3 tahun terlantar diserang stroke, jiran setempat aku pula kesedihan diberitakan tentang isterinya yang baru berumur 50 tahun disahkan menghidapi kanser tahap-4 manakala sahabatku pula baru kehilangan ayahnya yang aku kira berusia 60 tahun. Mungkin ini semua kebetulan berlaku tapi bisa menbuatkan aku untuk berfikir sejenak. 

“Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati, dan bahawasanya pada Hari Kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari Neraka dan dimasukkan ke Syurga, maka sesungguhnya ia telah berjaya. Dan (ingatlah bahawa) kehidupan di Dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya.” – Surah al-Baqarah, ayat 185.

Apa sebenarnya matlamat aku hidup di muka bumi ciptaan Allah SWT? Sibuk untuk mencari wang? Sibuk mengejar jawatan tinggi? Sibuk mencari kereta besar? Sibuk mencantikkan rumah? Sibuk dengan hal-hal isteri dan anak-anak? Sibuk bergaul dengan teman-teman? Sibuk betul aku selama ini . Tapi bukankah al-Quran ada menukilkan firman Allah SWT "Sungguh, Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya, kemudian Kami kembalikan dia ke tempat yang serendah-rendahnya, kecuali org-org yang beriman dan mengerjakan kebajikan; maka mereka mendapat pahala yang tidak ada putus-putusnya" - Surah At-Tin 95, ayat 4-6. Dan al-Quran juga menerangkan, "Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan agar mereka beribadah kepada-Ku,"- Surah Az-Zariyat 51, ayat 56."Dan apakah mereka tidak memperhatikan bahwa Alalh yang menciptakan langit dan bumi adalah Mahakuasa (pula) menciptakan yang serupa dengan mereka, dan Dia telah menetapkan waktu tertentu (mati atau dibangkitkan) bagi mereka, yang tidak diragukan lagi?Maka orang zalim itu tidak menolaknya kecuali dengan kekafiran" - Surah Al-Isra 17, ayat 99.

Bodoh betul aku kerana menyangkakan bahawa kehidupan aku di muka bumi ini semata-mata mencari kenikmatan duniawi. Tak perlu aku memikirkan akan halal dan haram dan sebagainya. Alangkah jahilnya aku selama ini. APA ERTINYA KEHIDUPAN KITA? Kemana akhirnya kehidupan aku nanti? Jika aku tidak terus berfikir akan kejadian aku dan melihat akan ciptaan Allah SWT, pastilah aku termasuk ke dalam golongan org-org yang rugi.

Sebesar jabal Uhud kah pahala aku selama ni? Seluas padang Arafah kah kebajikan yang aku lakukan selama hidup ni? Setinggi langit kah budi pekerti aku sepanjang hidup? Sememangnya aku ini hanyalah hamba-Nya yang kerdil. Sentiasa melalukan salah dan silap, namun aku sentiasa mengharapkan hidayah dan keampunan Illahi.

Buat kawan-kawan yang lain, cuba-cubalah duduk sebentar memikirkan akan kehidupan kita di dunia ini. Semoga Allah SWT sentiasa memberikan keredhaan-Nya kepada kita semua, insyaallah.

No comments:

Post a Comment